Alhamdulillah…bengkel latihan bagi Zon pantai Timur telah berjaya diadakan selama tiga hari berturut-turut pada 14 -16 Mei 2011 di Pok Ju Homestay, Kuala Terengganu. Pihak pengurusan Program Penyusuan Ibu Menyusu Malaysia (PPIMM) / Malaysian Breastfeeding Peer Counselors (MBfPC) mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Walaupun peserta yang hadir kali ini dalam kumpulan yang agak kecil namun hikmahnya setiap peserta yang hadir mendapat perhatian maksimum sepanjang program berlangsung. Perkongsian pengalaman dan maklumat yang menjadi teras program ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan dalam kumpulan yang sederhana kecil seperti ini.
Setiap hari bengkel ini bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.00 petang. Kebanyakan peserta datang dari kawasan berdekatan Kuala Terengganu, namun ada juga antara mereka yang datang dari jauh seperti Dungun dan Kerteh. Semangat setiap peserta yang hadir amat kami hargai. Semoga semangat ini akan terus disemarakkan dengan limpahan pengalaman dan ilmu yang dicurahkan sepanjang program 3 hari ini.
Dalam kalangan jurulatih dan peserta yang hadir kali ini, mereka datang daripada pelbagai latar belakang. Antaranya adalah surirumah, peniaga, kerani, jurutera, pakar bius, pakar patologi dan pendidik. Yang pasti kesemua mereka adalah ibu berpengalaman dalam penyusuan dan menaruh minat yang sama iaitu cintakan penyusuan ibu dan mahu membantu ibu lain yang akan melalui proses yang sama.
Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang hadir ke bengkel Zon Pantai Timur ini. Syabas kerana anda telah menjadi sebahagian daripada warga PPIMM! Tugas anda sebagai seorang pembimbing ibu menyusu / peer counselor telah bermula. Gunakanlah ilmu yang ditimba sepanjang bengkel bagi membantu ibu-ibu di luar sana yang memerlukan khidmat bantuan anda.
Pihak penganjur juga mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada anda semua! Kami berharap dan berdoa agar Bengkel Latihan untuk Zon Utara, yang akan diadakan pada 10-12 Jun 2011 juga akan berjalan dengan lancar.
Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC