Alhamdulillah…pada 2 hingga 4 April, bengkel kedua “Peer Counselor” telah berjaya dilaksanakan di Rumah DARUNNA, Klang, Selangor. Projek yang dianjurkan oleh “Malaysian Breastfeeding Peer Counselor” telah dihadiri seramai 48 orang peserta dan 10 orang jurulatih. Ini merupakan bengkel terbesar yang pernah dianjurkan setakat ini. Bengkel kedua ini merangkumi semua peserta dari kawasan tengah iaitu Kuala Lumpur dan Selangor.
Bengkel selama 3 hari ini dimanfaatkan oleh kesemua peserta dengan azam dan semangat untuk menimba ilmu bagi membantu ibu-ibu yang lain. Berkat kesungguhan mereka setiap hari bermula jam 8.30 pagi sehinggalah jam 6.00 petang, mereka telah berjaya menamatkan bengkel ini. Mereka bukan sahaja datang bersendirian, malah ada juga yang sanggup membawa bayi dan anak-anak mereka demi untuk mendalami ilmu ini. Walaupun perlu menjaga anak sambil belajar, mereka tetap tekun dan bersungguh-sungguh.
Perkampungan selama 3 hari ini terlalu singkat bagi kesemua peserta. Walaupun bengkel ini telah tamat, ini tidak bermakna pembelajaran mereka tamat di sini sahaja. Mereka perlu bersama dan berganding bahu bagi membantu ibu-ibu di luar sana serta keluarga terdekat yang perlukan sokongan dalam penyusuan ibu. Dari latihan berterusan inilah, kemahiran mereka sebagai Pembimbing Rakan Menyusu (Breastfeeding Peer Counselor) akan digilap dari masa ke semasa.
Pihak penganjur, Malaysian Breastfeeding Peer Counselor, sangat berharap agar program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap yang hadir. Dan mereka juga berharap agar bengkel seterusnya di Kawasan Timur yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang pada 31 April hingga 2 Mei, 2010 juga berjalan lancar.
Sebahagian peserta
Perbincangan dalam kumpulan
Pembentangan kerja kumpulan
Kusyuk mendengar taklimat yang disampaikan
Perbincangan lagi
Penyerahan sijil kepada peserta
Rangkaian yang menunjukkan para peserta perlu saling bersama
Para pelatih bengkel bergambar bersama
Oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi (IBCLC)