Presiden dan Penasihat Projek, MBfPCA
Presiden dan Penasihat Projek
Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia /
Malaysian Breastfeeding Peer Counseling Association (MBfPCA)
Teks Ucapan Aluan Majlis Perasmian
Bismillahirrahmanirrahim wabihi nastaiin
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera,
Terima kasih diucapkan kepada Puan Pengacara Majlis
Y Bhg Datuk Dr Lokman Hakim bin Sulaiman,
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam)
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ybhg, Dato’ (Dr) Anwar Fazal
Chaiperson Emeritus, World Alliance for Breastfeeding Action (WABA)
Yg dihormati Cik Yeong Joo Kean
Mewakili IBFAN-ICDC
Yg Berusaha Dr Nadrah Arfizah Arifin
Pengarah Konvensyen PRISMA 2015
Dif-dif kehormat, para pembentang plenari dan bengkel, jawatankuasa pengajur program, dan seterusnya hadirin hadirat seluruh warga peserta Konvensyen Pembimbing Ibu Menyusu dan Asuhan Alami Malaysia (PRISMA 2015) yang saya raikan sekalian.
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana atas izinNya, Konvensyen Pembimbing Penyusuan Ibu dan Asuhan Alami Malaysia 2015 dapat direalisasikan pada hari ini.
Sejak program Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia dimulakan pada 2010, dan penubuhan Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia pada 2012, iltizam yang tinggi telah diletakkan, bahawa suatu hari nanti, kami bakal mengumpulkan semula para Pembimbing Ibu Menyusu yang telah dilatih bersama-sama pendokong penyusuan ibu yang lain dalam sebuah konvensyen. Alhamdulillah, cita-cita ini dimaqbulkan Allah pada hari yang bertuah ini.
Setinggi-tinggi penghargaan, saya kalungkan buat semua ahli Jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus mengusahakan program ini sejak dari awal lagi. Biar kebanyakannya terpaksa bertugas secara maya dan hanya berhubung dari jauh antara satu sama lain menggunakan segala peralatan komunikasi sosial media yang ada, ternyata Laut China Selatan bukanlah penghalang. Bergelut dengan tugas hakiki harian juga bukanlah sesuatu yang mudah. Namun berkat pemerkasaan peribadi masing-masing sebagai sukarelawan yang tinggi budinya, ditambah dengan sokongan serta dorongan ahli keluarga, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Begitulah resam dan adat bekerja dalam persatuan dan bagi pihak persatuan, saya ingin nyatakan : bakti anda amat dihargai!
Tuan-tuan dan puan-puan,
Sedar tidak sedar, setelah program Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia ini dimulai sejak 6 tahun yang lalu atas kerjasama bersama 3 entiti penting dalam dunia penyusuan ibu yakni – WABA, UNICEF dan La Leche League International, sehingga ke hari ini, program ini telah melahirkan lebih dari 500 orang pembimbing ibu menyusu di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Bilangan pembimbing ibu menyusu yang dilahirkan ini, bukanlah yang dikejar-kejar, namun apa yang lebih penting bagi kami adalah memastikan kualiti produk hasilan program ini semakin ampuh dan berkredibel dalam memainkan peranan masing-masing di dalam masyarakat. Untuk tujuan itu, para jurulatihnya tidak henti-henti sentiasa cuba menambah baik modul latihan dan kaedah penyampaian program agar ia lebih mudah difahami dan diamalkan oleh graduan-graduannya.
Dalam hal ini, Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia amatlah beruntung, kerana pada tahun ini, kami sekali lagi telah mencipta sejarah apabila dipilih oleh Global Health Media Project sebagai rakan pelaksana. Global Health Media Project adalah sebuah organisasi antarabangsa yang mengeluarkan pelbagai video pendidikan kesihatan. Sebagai rakan pelaksana, pihak GHMP telah memberi keistimewaan kepada persatuan ini untuk memandu uji produk pendidikan terbaru mereka iaitu siri video pendidikan tentang penyusuan ibu. Di dalam projek khas ini, seramai 38 orang pelatih telah terpilih mengikuti latihan selama 2 bulan ini. Projek khas ini telah memberi nafas baru kepada sesi latihan yang telah dijalankan sepanjang 6 tahun ini.
Hadirin dan hadirat yang dirahmati sekalian,
Saya amat berharap seusai program ini nanti, kesemua peserta konvensyen ini dapat memanfaatkan ilmu serta perkongsian yang dicurahkan oleh barisan penceramah yang bukan calang-calang orangnya. Moga-moga ilmu yang digarap dan dihadam dalam konvensyen ini bakal diamal dan ditambah baik di dalam amalan sedia ada.
Saya juga amat berharap agar perkenalan yang singkat di konvensyen ini menjadi titik mengenal antara satu sama lain serta peranan yang dipikul masing-masing bersesuaian dengan tema konvensyen ini “Menjiwai Peranan, Menjalin Rangkaian dan Membudayakan Penyusuan”. Biarlah konvensyen ini menjadi asbab perhubungan berkekalan dalam membantu, mempromosi dan melindungi amalan penyusuan ibu di masa akan datang.
Akhir kata, terimalah 2 rangkap pantun daripada saya:
Berburu ikan di bukit batu, tidak kusangka terjumpa kangaroo,
Ilmu bukan hanya di buku, juga dari pengalaman dan para guru.
Rupanya ada si kura-kura, besar dari seekor labi-labi.
Gunanya ilmu tiada terkira, bekal manusia di atas bumi.
Selamat menimba ilmu di PRISMA2015!
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.