Kathy M. Baker adalah nama yang tidak asing lagi dalam bidang laktasi antarabangsa. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir dalam tidurnya pada 27 Mei 2010 yang lalu, di rumah beliau di Lombard, Illinois, Amerika Syarikat. Kathy meninggal dunia ketika umur beliau menjangkau 61 tahun. Merupakan bekas graduan Glenbard East High School pada tahun 1966. Kemudian beliau menyambung pengajian di Westley Memorial Nursing School di Chicago. Beliau juga adalah seorang IBCLC dan telah berkhidmat sebagai ‘Leader’ selama 30 tahun bersama La Leche League International. 

Beliau meninggalkan lima orang anak perempuan, seorang anak lelaki dan sepuluh orang cucu. Beliau tidak sempat melihat seorang cucu yang bakal dilahirkan tidak lama lagi. Jenazah beliau telah disemadikan di First United Methodist Church of Lombard, Main, Maple Sts., Lombard. 

Bagi rakyat Malaysia khususnya komuniti penyusuan ibu, kehilangan beliau amat dirasai kerana beliau pernah hadir di tanahair kita dalam menjayakan program ‘Malaysian Breastfeeding Peer Counselor’ – Pembimbing Rakan Sebaya Penyusuan Ibu Malaysia. Dalam misi tersebut beliau bersama seorang lagi jurulatih iaitu Puan Pushpa Panadam telah melatih 19 orang rakyat Malaysia sebagai “Peer Counselor Program Administrator” pada Januari 2010. 

Sepanjang beliau berada di Malaysia dalam tempoh 6 hari tersebut, banyak yang telah dipelajari terutamanya oleh setiap PCPA yang dilatih. Walaupun itulah kali pertama dan kali terakhir beliau menjejakkan kaki di tanahair kita, beliau langsung tidak kekok berkongsi pengalaman dalam bidang penyusuan walau berbeza adat, budaya dan agama. Seperkara yang kami pelajari, ilmu penyusuan tetap sama walau di mana kita berada, yang membezakan amalannya adalah sikap sesebuah komuniti terhadap isu tersebut. 

Kegigihan beliau dalam mendidik kami telah menyemarakkan semangat setiap PCPA untuk meluaskan konsep “Pembimbing Rakan Sebaya” dalam memartabatkan penyusuan ibu di mata rakyat Malaysia. Sejak kepulangan beliau ke Amerika Syarikat, perhubungan dengannya tidak pernah terputus. Kami sering berbalas email dan bertemu di alam maya menerusi skype. Perkongsian tentang pencapaian Peer Couselor yang telah dilatih lewat 3 bulan kebelakangan ini jelas amat menggembirakan kedua-dua jurulatih kami. Beliau sendiri tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan perjuangan ini dalam mendidik seramai mungkin ibu-ibu menjadi Pembimbing Rakan Sebaya. Tidak tergambar untuk kehilangan Kathy di saat ‘perjuangan’ baru bermula.

Dalam salah satu email beliau yang terakhir, beliau mengatakan “.. even though people support breastfeeding they may not agree with the breastfeeding community’s ethical stands.” Beliau merujuk dalam masyarakat kita, kefahaman tentang penyusuan dan bagaimana kita boleh mempromosi penyusuan mungkin berbeza-beza. Ini boleh mencetus kepada pergolakan dalam advokasi penyusuan. Bagi beliau adalah amat penting untuk benar-benar memahami sesebuah isu luar dan dalam agar perjuangan tersebut akan nampak jelas dan tidak bercelaru.

Semoga dengan pemergian Kathy ini tidak mematahkan semangat yang telah ditiupkan suatu ketika dahulu, malah dapat disemarakkan lagi dengan mempelbagaikan lagi aktiviti penyusuan dan menerapkan erti perjuangan agar suatu hari, generasi akan datang akan dapat menghargai nilai “setitis susu ibu”.

Berikut adalah beberapa keping gambar kenangan ketika beliau datang ke tanahair untuk melatih rakyat Malaysia pada Januari yang lalu.

 

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *