Alhamdulillah…Program Penyusuan Ibu Menyusu Malaysia (PPIMM) telah berjaya mengadakan bengkel latihan yang ketiga untuk tahun 2011. Bengkel kali ini diadakan khusus untuk peserta dari kawasan Utara dan negeri pilihan kali ini ialah Kedah. Ianya telah diadakan pada 10 – 12 Jun, di WNS Homestay, Alor Setar.

Penyertaan peserta dari Zon Utara menggalakkan pada kali ini iaitu seramai 21 orang. Syabas diucapkan kepada kesemua peserta. Bengkel kali ini sungguh istimewa kerana telah turut disertai oleh 3 orang peserta lelaki yang begitu bersemangat menyokong isteri mereka. Maka, bilangan Pembimbing Ibu Menyusu lelaki telah bertambah kepada 4 orang kesemuanya. Kami sangat berbesar hati dengan inisiatif mereka ini. 

Bengkel ini berlangsung selama 3 hari berturut-turut, bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.00 petang. Walaupun keletihan kerana perlu mendalami ilmu sehingga lewat petang, tetapi mereka tetap bersungguh-sungguh kerana bengkel ini adalah peluang yang telah ditunggu-tunggu oleh kebanyakan peserta. Peluang yang diberikan ini jelas tidak disia-siakan oleh setiap peserta untuk menggali ilmu dan kemahiran dalam menyokong penyusuan ibu.

Ruang bengkel latihan kali ini memang amat selesa, membenarkan antara peserta yang hadir membawa anak mereka bersama. Ada juga antara peserta yang turut menginap di tempat latihan.
Dalam melayani kerenah anak masing-masing, mereka masih boleh menumpukan perhatian terhadap setiap sesi yang dijalankan sehingga ke akhirnya. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua peserta yang hadir dan menamatkan latihan ini. 

Kami bagi pihak pengurusan MBfPC dan warga SusuIbu.Com ingin mengucapkan syabas kerana anda semua telah menjadi sebahagian daripada warga PPIMM! Jalankan tugas anda sebagai seorang Pembimbing Ibu Menyusu / Peer Counselor kerana anda telah layak untuk membantu ibu-ibu serta bapa-bapa yang memerlukan bantuan dan khidmat anda.

Seterusnya bengkel keempat akan diadakan di Johor Baharu pada bulan September dan bengkel kelima akan diadakan di Kuching, Sarawak. Bagi yang telah terlepas peluang sebelum ini, penyertaan anda amat dialu-alukan. Hantarkan butiran anda kepada admin@malaysianbfpc.org secepat mungkin. Anda mungkin terpilih untuk menyertainya!

Disediakan oleh : Nur Ain Sha’ari
Disemak oleh : Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *